Kanak-kanak merupakan modal insan yang penting kepada sesebuah negara. Modal insan ini dapat dibangunkan kepada tahap optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif.
Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting dan hendaklah diberi keutamaan.
Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 20 November 1989 telah menerima pakai Konvensyen Hak Kanak-kanak untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak di dunia. Berdasarkan dokumen konvensyen tersebut, kanak-kanak adalah diberi perlindungan daripada pengabaian, penderaan, eksploitasi dan mempunyai hak-hak tertentu. Malaysia telah menerima pakai konvensyen tersebut.
Berdasarkan konvensyen ini, semua kanak-kanak tanpa mengira jantina, latar belakang, status sosio-ekonomi,kepercayaan agama dan kebolehan diiktiraf sebagai individu yang mempunyai hak-hak asasi untuk membesar dan mendapat perlindung dalam kehidupan mereka.
Prinsip-prinsip Konvensyen
Konvensyen ini telah menetapkan beberapa prinsip,iaitu;
Tidak
ada diskriminasi terhadap kanak-kanak
Semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, pendapat politik, asal negara, etnik atau masyarakat, harta, ketidakupayaan, kelahiran atau tarafnya atau ibu bapa/penjaganya mempunyai hak yang sama.
Kepentingan
terbaik bagi kanak-kanak Pertimbangan utama dalam segala hal ialah kepentingan
yang terbaik bagi kanak-kanak.
Hak
untuk hidup dan berkembang Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dan berkembang
dalam semua aspek kehidupan mereka, termasuk aspek jasmani, emosi,
psiko-sosial, kognitif, sosial dan kebudayaan.
·
Hak
untuk Penyertaan
Kanak-kanak hendaklah dibolehkan turut serta secara aktif dalam segala hal yang melibatkan kehidupan mereka dan bebas untuk memberi pendapat dan pandangan. Mereka mempunyai hak untuk didengar dan diambil peduli secara serius.
Definisi Kanak-kanak
Perkara 1- Seorang kanak-kanak diiktiraf sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun, melainkan jika undang-undang negaranya mengiktirafkan umur dewasanya sebelum itu.
Hak Kanak-kanak
Hak Kehidupan
Kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat keperluan asas seperti makanan, air
bersih, tempat tinggal dan penjagaan kesihatan. Ibu bapa atau penjaga
kanak-kanak bertanggungjawab memastikan hak kanak-kanak untuk hidup dipenuhi.
Perkara 6 : Semua kanak-kanak mempunyai hak sedia ada untuk hidup dan negara
mempunyai obligasi untuk memastikan kewujudan perkembangan kanak-kanak
tersebut.
Hak Perlindungan
Hak perlindungan ke atas kanak-kanak merangkumi perlindungan daripada
diskriminasi, penderaan dan pengabaian. Ibu bapa atau penjaga mesti memberi
penjagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak tanpa keluarga atau
pelarian harus diberi perlidungan yang sewajarnya. Di samping itu perlindungan
seksual, fizikal, dan eksploitasi, pengabaian, penyalahgunaan dadah dan
diskriminasi juga merupakan hak kanak-kanak. Negara hendaklah memberi
perlindungan kepada kanak-kanak sekiranya mereka diabaikan oleh ibu bapa atau
penjaga.
Perkara 3: Negara hendaklah memberikan penjagaan secukupnya kepada kanak-kanak
melalui pihak berkuasa tempatan yang berkaitan sekiranya kanak-kanak tersebut
diabaikan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.
Perkara 8: Negara mempunyai obligasi untuk melindungi, dan jika perlu
memantapkan semula aspek asas identiti termasuk kerakyatan dan hubungan
kekeluargaan.
Hak Perkembangan
Ibu bapa, keluarga kembangan atau penjaga bertanggungjawab untuk memastikan
kanak-kanak berkembang dari aspek jasmani, mental, emosi, kerohanian, moral dan
sosial. Pendidikan harus diberi kepada kanak-kanak untuk mereka berkembang
dengan lebih optimum.
Perkara 5: Negara mesti menghormati tanggungjawab ibu bapa atau keluarga
kembangan untuk memberi bimbingan kepada kanak-kanak berdasarkan keupayaan
mereka.
Hak Penyertaan
Kanak-kanak juga diberi kebebasan untuk bersuara, memberi pendapat, bergaul dan
bermain dengan rakan-rakan sebaya. Pandangan dan pendapat mereka berkaitan
dengan hal ehwal kanak-kanak harus didengar dan diguna pakai. Mereka juga
berhak untuk menyertai aktiviti atau program persatuan dan kelab.
Perkara 12: Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dengan
bebas dalam semua perkara berkaitan dengan hal kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment