Mengikut Terri Mauro (2004), terdapat banyak faktor yang berkait dengan gangguan emosi dalam kalangan kanak-kanak. Antara punca berlakunya gangguan emosi dalam kalangan murid ialah persekitaran sekolah, peristiwa dalam keluarga, pengaruh keluarga, pengaruh rakan sebaya, tindakan guru dan lain-lain lagi.
Gangguan emosi dalam kalangan murid berpunca daripada persekitaran sekolah yang tidak kondusif. Contohnya gangguan emosi itu mungkin berpunca daripada masalah kesesakan di dalam kelas yang boleh mewujudkan kecenderungan murid untuk melakukan kesalahan disiplin. Ini selaras dengan pendapat yang diberikan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Kaunseling dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rusnani Abdul Kadir yang mendapati bahawa kecendurungan ke arah perlakuan negatif wujud kerana dipengaruhi unsur rangsangan di sekeliling mereka. Ini bermaksud murid mungkin melakukan kesalahan akibat daripada suasana persekitaran yang tidak kondusif dan mengganggu emosi mereka.
Keadaan ini berlaku kerana keadaan sekolah yang sesak akan membawa kepada fizikal kelas padat dan menyebabkan situasi tidak selesa kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Malah keadaan ini menjadi lebih ketara jika ada murid nakal yang sering mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Ini secara langsung akan mengganggu murid yang ingin belajar dan menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi.
Selain itu, peristiwa dalam keluarga juga akan menjadi punca murid mengalami gangguan emosi. Peristiwa dalam keluarga selalunya melibatkan perubahan yang besar dan penyesuaian dalam kehidupan murid. Peristiwa dalam hidup mungkin bersifat positif atau negatif dan melibatkan diri sendiri atau orang yang tersayang. Contoh peristiwa hidup yang negatif adalah penderaan, penceraian, kemalangan, kematian, muflis atau hilang pekerjaan, dipenjara, krisis kewangan dan lain-lain.
Manakala peristiwa hidup yang positif termasuk perkahwinan, mengandung, kenaikan pangkat dan berpindah ke rumah baru. Peristiwa dalam kehidupan keluarga seperti yang dinyatakan itu memberi kesan ke atas masalah emosi seseorang murid. Peristiwa yang sedemikian akan menyebabkan emosi murid tertekan dan selalunya mereka akan menunjukkan tindak balas fizikal, emosi dan tingkah laku seseorang. Dari segi emosi, murid akan berasa susah hati, murung, sedih, marah, tidak tentu arah, resah dan lain-lain lagi.
Di samping itu, keluarga yang sering bertengkar, bergaduh dan kurang mesra, tidak menaruh minat terhadap anak-anak, bercerai, terdapat kematian dan perpisahan akan membawa keadaan gangguan emosi dan penyesuaian kanak-kanak yang tidak stabil. Pengaruh keluarga menjadi punca keadaan in berlaku. Dari segi tingkah laku, murid berkenaan mungkin akan bertindak berlainan di antara satu dengan lain. Sesetengahnya ada yang menjadi kaku, ada juga yang meluahkan emosi manakala ada juga yang tidak menunjukkan sebarang emosi. Keluarga yang mesra antara satu sama lain, demokratik dan ibu bapa yang memenuhi keperluan kanak-kanak akan meningkatkan penyesuaian kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak yang melihat dirinya diterima oleh ibu bapanya akan menunjukkan aspirasi ego yang lebih tinggi, ketabahan dan ketekunan dalam melaksanakan sesuatu perkara.
Pada peringkat kanak-kanak, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang sikit berbanding dengan zaman remaja yang mempunyai peranan yang besar. Namun begitu, pengaruh rakan sebaya juga menjadi salah satu punca gangguan emosi dalam kalangan kanak-kanak. Minat kanak-kanak lebih mirip kepada minat rakan daripada ibu bapa. Perihal popular atau tidak popularnya seseorang itu mengikut pandangan rakan-rakannya sangat penting dalam perkembangan personalitinya. Mereka juga akan suka membantu, bijak bertoleransi dan melibatkan diri dengan merancang dan memulakan aktiviti kumpulan yang menarik dan menyeronokkan. Murid yang diterima oleh rakan sebaya akan bersikap ceria, bersemangat, baik hati, boleh berjenaka, mempunyai daya usaha, dorongan dan sering memberikan idea yang baik. Murid yang tidak disanjung dan disingkirkan oleh rakan-rakan mempunyai ciri-ciri yang bertentangan dengan mereka yang popular. Murid ini akan berasa kurang yakin pada diri sendiri, penakut dan cuba menjauhkan diri dari rakan sebaya. Murid sebegini akan menunjukkan sikap agresif, sombong dan terlalu mendesak. Murid yang disukai oleh kawan-kawannya akan berasa inferior, rasa iri hati, benci, muram dan marah terhadap kawan-kawan yang tidak menghiraukannya. Semua ini menunjukkan tanda-tanda gangguan emosi yang perlu diketahui oleh guru dalam menguruskan tingkah laku murid di dalam kelas.
No comments:
Post a Comment